HARI KASTAM SEDUNIA KE 28
Ditulis pada: January 27, 2010, 7:34 am
Melaka 26 Jan. 2010. Hari Kastam Sedunia ke 28 disambut penuh meriah oleh 2,000 kakitangan JKDM dan rakan niaga terdiri daripada Persatuan Pekilang-Pekilang Malaysia, Pengimport dan Pengeksport, Pelesen-Pelesen Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan. Tema sambutan kali ini ialah "Kastam dan Rakan Niaga Peningkatan Prestasi Melalui Perkongsian".
Sambutan yang penuh gilang gemilang tersebut diresmikan oleh Y.B. Menteri Kewangan II Malaysia Dato' Hj Ahmad Husni bin Mohamad Hanadzlah. Turut serta memeriahkan majlis tersebut ialah Y.A.B Ketua Menteri Melaka Dato' Seri Wira Ali bin Rustam, barisan Ahli-Ahli Majlis Dewan Undangan Negeri Melaka, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan dan dif-dif jemputan kehormat.
Aturcara majlis dimulakan dengan Acara Perbarisan Tabik Hormat,nyanyian beramai-ramai Lagu Negaraku, Kastam dan ABID diikuti dengan Bacaan Doa, Ucapan Aluan oleh Ketua Pengarah Kastam Malaysia Dato' Seri Ibrahim bin Jaapar dan ucapan Perasmian Sambutan oleh Y.A.B. Menteri Kewangan II.
Sebelum itu, pada petang 25 Jan. 2010 JKDM turut mengadakan Majlis Bacaan Yaseen dan Tahlil di Surau baru AKMAL yang terletak dalam kawasan Akademi. Majlis tersebut dijayakan bersama oleh kira-kira 500 warga JKDM termasuk para-para isteri masing-masing dan dif-dif jemputan khas.